"PERHATIAN: Setiap isi kandungan di dalam blog ini adalah hasil kreativiti Penulis semata-mata. Setiap penulisan adalah tidak bermaksud utk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Sekiranya terdapat ayat-ayat yg menyentuh sensitiviti, ini adalah secara tidak disengajakan dan penulis memohon beribu kemaafan. Dilarang sama sekali menerbit, menplagiat isi kandungan blog ini tanpa kebenaran Penulis. ~ Gieyana"

Gieyana & Co ® : New Entry

Saturday, July 2, 2011

Khutbah Jumaat: Perhimpunan haram tindakan binasakan masyarakat, negara

SEJARAH ketamadunan manusia menunjukkan nikmat keamanan memberi sumbangan besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan dunia. Keamanan bererti kita bebas daripada sebarang ancaman yang menggugat keharmonian hidup.

Kita bersyukur negara aman dan damai walaupun ketika ini menghadapi beberapa isu yang boleh mengancam keselamatan negara. Dengan keamanan, kita dapat melakukan urusan kehidupan tanpa berasa takut, gerun dan dengannya boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada rakyat serta negara. Firman Allah bermaksud: “Dan Allah memberikan misalan; sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.” (Surah an-Nahl, ayat 112) Memelihara keamanan dituntut dalam kehidupan tanpa mengira anutan agama, bangsa atau keturunan. Nabi Ibrahim semasa meneroka pembukaan Makkah sebagai pusat ibadat dan Tanah Suci mendoakan Makkah dikurniakan Allah keamanan.

Kita juga menyaksikan rugi dan malangnya negara yang dilanda kekacauan, persengketaan dan perpecahan. Negara itu bukan saja ketinggalan dari segi kemajuan dan pembangunan, malah keselamatan sentiasa terancam.

Justeru, Islam menolak gerakan mengganggu keamanan negara termasuk pelampau.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama.” (Hadis riwayat Ahmad)

Mutakhir ini, golongan pelampau menggelarkan diri Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (BERSIH) kian membimbangkan. Golongan ini asasnya memperjuangkan kepentingan individu atau fahaman tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti dan kepentingan awam.

Dalam mencapai matlamat, golongan ini akan melakukan perhimpunan haram, berarak, berkumpul untuk bertindak ganas, merosakkan harta awam, melanggar undang-undang malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan.

Lebih malang lagi, golongan ini berlindung atas nama perjuangan hak asasi manusia, perjuangan politik dan meniru keganasan yang berlaku di negara lain bagi mengugut pemerintah supaya memenuhi tuntutan mereka.

Mimbar ingin menegaskan, tindakan golongan pengkhianat seperti ini tindakan zalim dan haram umat Islam mengikutinya kerana ia boleh mencampak manusia dalam kebinasaan, mendatangkan keburukan serta kesusahan kepada masyarakat.

Perhimpunan haram kebiasaannya mencetuskan pelbagai insiden buruk. Pertembungan dua pihak bertelagah mencetuskan lebih banyak perbalahan akhirnya mengakibatkan pertumpahan darah.

Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan agama, bangsa dan negara, kita dituntut untuk tidak terbabit dalam segala bentuk perhimpunan yang boleh merosakkan agama dan keamanan negara. Soal ancaman ini perlu diambil perhatian semua pihak kerana membabitkan keselamatan negara.

Jika perkara ini tidak dipatuhi, maka hancurlah keutuhan bangsa yang boleh memusnahkan kedaulatan negara. Ulama besar mazhab al-Shafie, Abi Ishak al-Juwayni berkata: Haram melakukan perhimpunan yang mendatangkan kemudaratan kepada manusia dan negara.

Keamanan dan keharmonian negara mestilah dipelihara dan dipertahankan oleh seluruh warga negara. Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan sebahagian daripada ibadat dan tanda jihad di jalan Allah.

Oleh itu, sebagai orang beriman, marilah kita mengekalkan keamanan dikecapi selama ini. Tindakan yang memporak-perandakan umat Islam dan negara akan diancam hukuman berat oleh Allah.

Sumber : Berita Harian

~ Bila Akal menguasai Minda..Bila ketidakpuasan  berada di jiwa...Bila Iman tiada di jiwa..dan Pemberontakan merasuk jiwa..macam2 yg terjadi...yg pentingnya tepuk dada tnya selera..mahukan keamanan ataupon sebaliknya..

2 comments:

ieda said...

semoga kita mendapat apa yg kita inginkan .. insyaallah yg baik itu pasti akan terbela :)

InaAchik said...

AMAN kah kita sekarang?!